Tips Bakal Pelajar Latihan Industri (Internship)

Berikut adalah tips ringkas kepada para pelajar yang bakal menjalani atau ingin memohon untuk menjalani Latihan Industri (LI) di sesebuah organisasi.  Ada yang panggil latihan praktikal dan juga 'internship'.

Secara umumnya, L.I dibahagikan kepada 2 kategori; Sebelum LI dan Semasa LI.

Sebelum LI
Sebelum memohon sesuatu tempat LI, dapatkan dahulu maklumat awal organisasi tersebut seperti nama penuh, alamat, pegawai untuk dihubungi serta 'nature of business'.  Ia penting bagi menunjukkan bahawa pelajar benar-benar berminat untuk menjalani LI di tempat tersebut.  Dengan yang demikian akan menguja organisasi mengambil anda menjalani LI di organisasi mereka.

Kedua, jika menelefon, mulakan dengan salam, perkenalkan diri dan tanyakan penjawab telefon bagi memastikan yang menjawab itu adalah individu yang sepatutnya.  Sering saya menerima panggilan telefon tanpa memperkenalkan diri.  Sebaliknya terus bertanya tanpa memperkenalkan diri.

Ketiga, jika menghantar emel (dulu mungkin menggunakan surat), mulakan dengan salam dan perkenalkan diri.  Ceritakan maksud emel.  Di akhir emel, tuliskan nama penuh anda serta no.telefon bimbit untuk dihubungi.

Keempat, jika ada lampiran berbentuk CV, sebaiknya anda gunakan format pdf.  Boleh juga format MS Word, tetapi perlu diingat bahawa tak semua organisasi menggunakan perisian MS Word.  Tambahan pula ada juga yang menggunakan MS Word versi terdahulu.  Sertakan foto dalam CV tersebut dan jika boleh, biarlah ada 'touch up' sikit supaya tak nampak macam foto paspot.
Sekarang ini semuanya 'mobile'.  Jadi emel dibaca di 'smart phone'.  Format sesuai adalah pdf.

Kelima, elakkan bertanya pasal elaun.  Lazimnya organisasi ada peruntukan untuk elaun pelajar LI.  Jika calon bertanyakan pasal elaun, nampak sangat calon bukannya mahu belajar, sebaliknya mahu bekerja mencari wang.

Keenam, berkenaan pengangkutan dan tempat tinggal.  Oragnisasi jarang menyediakan pengangkutan atau tempat tinggal.  Jadi, elakkan bertanya soalan berkaitannya.  Elakkan menyatakan masalah pengangkutan atau tempat tinggal semasa memohon.


Semasa LI
Pertama sekali cari peluang untuk 'menjual diri'.  Maksudnya cuba beri keyakinan kepada organisasi berkenaan apa yang anda mampu buat.  Kadang kala skop  kerja diberikan tidak sepenuhnya sama dengan apa yang dipelajari.  Namun itu tidak menghalang untuk calon memberikan komitmen dalam tugas yang diberikan.

Seterusnya, kenali setiap staf dalam organisasi, termasuklah 'tea lady' dan makcik tukang sapu.  Ini penting kerana staf lazimnya tahu skop kerja masing-masing.  Manakala, makcik tukang sapu tahu segenap ceruk bangunan organisasi.

Ketiga, jika kurang pasti, bertanya.  Tapi sebelum bertanya, 'google' dahulu.  Bak kata pepatah moden, 'ask google before you ask stupid question'.  Jika benar-benar buntu, barulah bertanya terutama apabila ada sesi pembentangan atau taklimat mingguan.

Keempat, laksanakan kerja melampau jangkauan.  Jika tugasan atau 'task' diberi perlu ke tahap 5 dalam skala 1 hingga 10, cubalah berikan hingga ke tahap 6 dan ke atas.  Pihak organisasi ingin melihat kemampuan sebenar calon kerana secara tidak langsung, calon berpotensi untuk diambil bekerja dengan organisasi berkenaan apabila bergraduat kelak.

Kelima, kreatif dan menyumbang.  Calon mestilah kreatif dan menyumbang ke arah penyelesaian masalah.  Calon perlulah kreatif dalam menyiapkan tugasan.  Mengikut pengalaman saya sendiri, ada calon yang hanya 'tangkap muak' dalam menyelesaikan tugasan, tidak bertanya atau lebih tepat malas bertanya jika ada masalah serta tidak menyumbang kepada kemajuan organisasi.

Keenam, kerja berkumpulan atau berpasukan.  Organisasi mengamalkan kerja berpasukan.  Tiada istilah 'saya' dalam organisasi.  Semuanya adalah 'kami'.  Setiap calon perlu saling bantu membantu (dalam hal yang baik) terutamanya jika datang dari pusat pengajian yang sama.

'Last, but not least', tinggalkan sesuatu yang baik untuk diingati oleh sesuatu organisasi.  Mungkin ada prosedur atau modul atau apa sahaja yang boleh digunapakai selepas calon selesai menjalani LI hasil sumbangan pelajar LI berkenaan.  Kata pepatah, "budi yang baik dikenang jua". Sumbangkan sesuatu yang baik dan berkekalan kepada organisasi.

Penutup
Perlu difahami tujuan LI adalah untuk mempraktiskan apa yang dipelajari di dewan kuliah di samping mendapatkan pengalaman dan ilmu baru dari organisasi berkenaan.  Jadikan objektif utama menjalani LI untuk menimba ilmu kerana semasa menjadi pelajar, banyak perkara yang sesebuah organisasi boleh kongsi termasuklah 'rahsia-rahsia' organisasi.

Semoga artikel ringkas di atas dapat membantu para calon L.I.  Banyak lagi tips akan dikongsi di masa akan datang.

Sila panjangkan kepada para pelajar atau rakan-rakan untuk manfaat bersama.


Wallahua'lam.

matshi @ Shukri
B.Pahat

Comments

Popular posts from this blog

100 Tips Usahawan : Tip #013 “Sinki/Basin”

Bangsaku...