Tips Pemanduan - Menjelang Perayaan

(Penulisan ini disunting semula bersesuaian dengan persekitaran semasa.  Dibenarkan untuk suntingan dan edaran dengan syarat dinyatakan sumber/kredit)

Menjelang Hari Raya Idil Fitri, pastinya masing-masing bersiap sedia untuk pulang ke kampung.  Bagi yang tiada kampung, tentunya akan melawat rakan taulan.

Justeru itu, berikut adalah panduan sebelum memulakan perjalanan yang saya garap dari pengalaman sendiri, perkongsian rakan-rakan dan juga catatan yang pernah saya poskan ke beberapa grup suatu waktu dahulu.

Beberapa perkara yang diharap menjadi panduan kepada saudara/i apabila ingin berjalan jauh;
1. Pastikan lampu suluh sentiasa ada dalam dashboard dan berfungsi.  Sebaiknya sediakan 2 unit.
2. Mempunyai pemantul cahaya 'triangle'.  Ia perlu diletak dalam jarak 10 - 30 meter di belakang kenderaan apabila berlaku breakdown.
3. Mempunyai talian telefon bimbit yang luas liputannya.  Sebaiknya menngunakan langganan 2 talian telco. Kalau ada Radio Amatur lagi bagus.
4. Payung.
5. Air kosong/air kotak dan makanan seperti biskut.
6. Servis kenderaan sepenuhnya sebelum memulakan perjalanan.  Servis di sini maksudnya buat pemeriksaan kenderaan secara menyeluruh (enjin, tayar, tayar spare dan lain-lain) dan bukan sekadar tukar minyak pelincir dan penapis sahaja.
7. Isi minyak kereta sepenuhnya sebelum memulakan perjalanan.  Apabila meter menghampiri E, dan anda bertemu stesen minyak seterusnya, usah bertangguh walaupun anda yakin kenderaan boleh tiba ke destinasi.  Ini kerana ada kemungkinan di hadapan sana ada kesesakan lalulintas dan sebagainya.

E maksunya Enough, bukannya Empty.  Lazimnya dengan kelajuan 50 – 70 km/j, kenderaan anda masih boleh bergerak hingga jarak 50km.  Tutup penghawa dingin kerana ia boleh jimatkan penggunaan bahan api.

Apabila berlaku kecemasan seperti tayar pancit, berhentikan kereta di tepi kawasan yang selamat.  Hidupkan hazard light* dan tutup atau kecilkan lampu kereta.  Kenalpasti status kerosakan.  Seterusnya hubungi pihak auto assist yang sewajarnya anda langgan.  Jika kereta baru, lazimnya dah ada disediakan talian 24 jam.  Maklumkan lokasi breakdown.

Jika kecemasan berlaku semasa memandu di lebuhraya dan anda perlu berhenti di lorong kecemasan, pastikan keluarga anda berada di luar pagar keselamatan.  Bukan berhampiran kenderaan.

Sering juga saya lihat kenderaan berhenti di tepi jalan kerana si ibu membuat susu anak atau anak nak kencing.  Cubalah seboleh mungkin berhenti di kawasan yang jauh sedikit dari laluan kenderaan atau selekoh jalan.

Pastikan saudara/i sentiasa awas (alert) dengan persekitaran.  Kunci kereta dan jika ada yang singgah bertanya khabar, buka sedikit sahaja cermin kereta.  Usah terlalu bersangka baik dalam soal keselamatan.

*Jangan sekali-kali memasang hazard light semasa anda memandu kereta dalam hujan kerana ia sebenarnya mengisyaratkan bahawa kenderaan sedang pegun (tidak bergerak).  Jangan kelirukan pemandu lain!

Jika kecemasan berlaku di waktu malam, terutamanya jalan yang sunyi dan terpencil, hubungi 999 dan maklumkan lokasi.  Mereka akan menghantar kereta peronda untuk menemani anda sehinggalah bantuan/tow truck tiba.

Jangan lupa hubungi saudara terdekat dan maklumkan status saudara/i.  Jika ada GPS, maklumkan koordinat GPS.  Anda boleh WA lokasi anda kepada kenalan sebagai back up.
(Saya agak hairan kenapa pihak trak tunda/auto assist/999 tak ada sistem GPS untuk mengesan lokasi? - betulkan saya jika saya salah).

Jika anda melanggan perkhidmatan yang disediakan jenama kereta yang anda beli (kereta baru), tunggu sehingga trak tersebut tiba.  Jika ada tow truck lain, jangan terima walau dengan apa cara sekalipun kecuali melibatkan hidup atau mati.  Perayu trak tunda akan provoke saudara/i dengan macam-macam cerita bertujuan agar saudara/i guna servis mereka. Dalam hal ini, mental kena kuat. Kena banyakkan bersabar.  Mengambil khidmat tow truck yang tidak dilanggan untuk kereta anda akan menyebabkan banyak karenah dan masalah timbul apabila anda nak membuat tuntutan insuran dan juga apabila nak keluarkan kereta.

Tambahan (bagi yang ada kanak-kanak dalam kenderaan)
Sering kelihatan pemandu memangku kanak-kanak semasa memandu.  Keadaan yang amat merbahaya kerana pemandu mungkin berhati-hati.  Tetapi bagaimana dengan pemandu lain.
Begitu juga pemandu yang membiarkan anak-anak berdiri di kerusi belakang atau membiarkan anak-anak menjenguk luar tingkap.  Biarlah anak-anak menangis ketika itu, jangan pula anda menangis kemudian daripada itu.

Lain-lain

Bacaan
Bacalah ayat-ayat al-quran serta doa memulakan perjalanan.

Co-Pilot
Ya.  Semasa memandu kereta, anda juga perlukan co-pilot.  Berbual akan mengurangkan rasa mengantuk.  Biasanya isteri.  Di sini untung jika ada isteri yang 'banyak mulut'.
Jika memandu keseorangan, anda boleh kunyah gula-gula getah, makan kuaci.  Saya pula gemar kunyah keropok yang belum digoreng :)

Muzik
Memainkan lagu-lagu perlahan dapat menenangkan perasaan semasa memandu.  Tapi kalau dah penat, ia boleh melenakan dan 'menghanyutkan' anda.  Maka, pasanglah lagu-lagu rancak.

Perhentian
Berhenti rehat di tempat yang dikhaskan (R & R) atau lokasi yang selamat.  Elakkan berhenti di tempat terpencil terutamanya di waktu malam. Bukan bermaksud 'superstitious', tapi tanyalah pada mereka yang pernah alami.  Banyak cerita telah didengari.

Kemalangan (Accident)
Jika ada insiden kemalangan dan anda ada upaya untuk membantu, utamakan keselamatan diri anda dan keluarga terlebih dahulu.  Jangan terlalu 'excited' ingin membantu sedangkan ia boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan keluarga.

Akhir sekali, pakai tali pinggang keledar bagi penumpang depan dan juga bagi penumpang belakang, termasuk kanak-kanan.  Jangan pandang ringan kerana anda 'memang' pemandu berhemah.  Tapi bagaimana dengan pemandu lain?

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda dan keluarga.

Salam ukhwah.

Shukri, ‘Shook’ H.I.
shukri@eshi2u.com
B.Pahat

Comments

Popular posts from this blog

100 Tips Usahawan : Tip #013 “Sinki/Basin”

Bangsaku...